BTS Media

Doktor berhak berikan Ivermectin kepada pesakit, kata Mahkamah Persekutuan

MAHKAMAH Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memberi hak kepada doktor untuk mengeluarkan ubat Ivermectin kepada pesakit.

Menolak rayuan Kementerian Kesihatan, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata Ivermectin adalah racun Kumpulan B di bawah Seksyen 19(1)(a) Akta Racun dan mana-mana pengamal perubatan berdaftar boleh menjual, membekalkan atau menggunakannya untuk rawatan.

“Kami diperkukuhkan lagi dalam pandangan ini kerana fakta bahawa seksyen 21(2) akta itu mengandungi keseluruhan prosedur mengenai preskripsi dan bagaimana racun itu (ubat yang dianggap) dijual atau dibekalkan kepada pesakit untuk rawatan pesakit itu,” kata Tungku Maimun dalam penghakiman bertulisnya.

Beliau berkata Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan hujahan responden bahawa menurut Seksyen 19, mereka dan semua pengamal perubatan berdaftar boleh memberikan Ivermectin kepada pesakit.

Responden, Dr S Vijaendran dan Dr Che Amir Farid Che Isahak pada Sept 2021, memfailkan saman pemula terhadap Kementerian Kesihatan dan kerajaan.

Melalui saman itu mereka memohon pengisytiharan mengenai tafsiran Akta Racun dan Peraturan Racun berkenaan hak doktor untuk memberikan Ivermectin kepada pesakit.

Isu tercetus selepas jabatan kesihatan Selangor merampas Ivermectin daripada klinik Che Amir Farid pada Jun 2021.

Mahkamah Tinggi, pada Mac 2022, telah menolak saman doktor tetapi ia telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun berikutnya.

-BTS Media

Leave a Comment