PEGUAM Muhammad Shafee Abdullah telah memohon maaf kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Rabu.
Beliau, bagaimana pun, mengulangi kenyataannya bahawa pendakwaan tidak mendedahkan maklumat transaksi hadiah daripada Arab Saudi kepada Najib Razak.
Muhammad Shafeee berkata demikian semasa prosiding bekas Perdana Menteri yang berdepan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Peguam itu turut memohon maaf kepada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram jika kenyataannya dalam satu sidang media, disalah erti.
Bagaimanapun, beliau berpendirian bahawa laporan yang dikeluarkan pihak media tepat dan tidak timbul isu tokok tambah.
“Tindakan saya itu tidak lebih kepada memberi respons pada soalan yang diajukan pihak wartawan mengenai dua transaksi daripada Arab Saudi pada 23 Februari dan 13 Jun 2011.
“Saya tetap akan berhubung dengan pihak media untuk memberikan penjelasan, jika ada keperluan,” katanya.
Sementara itu, Sri Ram berkata, tiada isu pembelaan sukar mendapatkan sebarang dokumen, tetapi perkara itu mesti dibangkitkan dalam mahkamah bukannya kepada media.
“Kalau ada sebarang aduan mengenai cara kami menjalankan pendakwaan, ia mesti dibuat di hadapan hakim dan bukannya di luar,” katanya.
Mendengar perkara itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta kedua-dua pihak supaya menyelesaikan persoalan yang dipertikaikan di mahkamah.
Semalam, Sri Ram memberi amaran kepada Muhammad Shafee kerana mengeluarkan kenyataan media menuduh pendakwaan menyembunyikan maklumat mengenai surat transaksi wang daripada Arab Saudi kepada Ahli Parlimen Pekan itu.
Ia susulan tindakan Muhammad Shafee meluahkan rasa tidak puas hati atas kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan empat surat berhubung lima transaksi wang hampir AS$180 juta ke akaun Najib pada sidang media di mahkamah ini, Isnin lalu.
Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.
Sumber asal: https://www.sinarharian.com.my/article/224425/berita/semasa/muhammad-shafee-mohon-maaf-kepada-mahkamah-tinggi-sri-ram