MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur pada Khamis menetapkan 28 Oktober ini sama ada Muhammad Shafee Abdullah dibebaskan atau perlu membela diri terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram berhubung penerimaan wang RM9.5 juta daripada Najib Tun Razak.
Beliau turut dibicarakan berhubung dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu setelah mendengar hujah lisan peguam mewakili Muhammad Shafee, Harvinderjit Singh dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.
Beliau dibenarkan meneliti penghujahan lisan dan penghujahan bertulis melebihi 500 muka surat yang difailkan oleh kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan pada akhir kes pendakwaan.
Pihak pendakwaan pada 12 Mei lalu telah menutup kes selepas memanggil saksi kelapan yang juga saksi terakhir pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Farid Jabar.
Kes itu mula dibicarakan pada 21 Mei 2021 selepas dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Muhammad Shafee didakwa pada 13 September 2018.
Tertuduh didakwa dua tuduhan pengubahan wang haram, iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.
Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.
Beliau didakwa bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika didapati bersalah.
Muhammad Shafee juga berhadapan dua tuduhan secara langsung melibatkan diri dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan membuat penyata tidak betul.
Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.
-BTS Media