BTS Media

Hujan lebat bukan penghalang, Muhyiddin harap lebih 70 peratus keluar mengundi

GAMBAR: NSTP

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hari ini akan melebihi 70 peratus walaupun hujan lebat melanda beberapa daerah sejak awal pagi.

Beliau berkata, keadaan cuaca mungkin memberi sedikit kesan kepada kehadiran pengundi sekiranya hujan berterusan sehingga lewat petang, namun percaya semangat rakyat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kekal tinggi.

Menurutnya, kesesakan lalu lintas yang berlaku membuktikan ramai pengundi sanggup meredah perjalanan untuk pulang mengundi, termasuk mereka yang datang dari Kuala Lumpur.

“Jika hujan berterusan sehingga lewat petang, mungkin ia memberi sedikit kesan kepada peratusan keluar mengundi. Namun, melihat semangat rakyat dan keadaan trafik yang sesak, ramai telah pulang dari Kuala Lumpur untuk mengundi.

“Jadi, walaupun hujan, saya berharap peratusan keluar mengundi agak tinggi, iaitu melebihi 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muar, Muar, hari ini.

Muhyiddin tiba di pusat mengundi kira-kira pukul 10 pagi bersama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, sebelum memasuki dewan mengundi.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pengundi yang masih belum keluar mengundi supaya tidak menjadikan cuaca hujan sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, walaupun hujan, perkara paling penting ialah setiap rakyat yang layak mengundi perlu menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon pilihan mereka.

Katanya, selepas proses pengundian selesai, Johor akan mempunyai sebuah kerajaan negeri yang baharu.

-BTSMedia.my

Leave a Comment