BTS Media

Sebanyak 42 peratus keluar mengundi setakat 12 tengah hari

Oleh Yusoff A. Shariff

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) berkata sebanyak 42 peratus pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat pukul 12.00 tengah hari.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 8,958 pusat mengundi dan 38,348 saluran telah dibuka dengan bantuan daripada 363,515 petugas.

Bagi PRU15 ini sebanyak 221 kerusi Parlimen dipertandingkan, iaitu kurang satu setelah pengundian di kerusi Parlimen Padang Serai, Kedah dibatalkan berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), Karupaiya Mutusami tiga hari lepas kerana serangan jantung.

Daripada jumlah itu, seramai 939 calon bertanding untuk kerusi kawasan Parlimen daripada jumlah asal 945 susulan pembatalan enam calon di kerusi Padang Serai.

PRU15 turut menyaksikan pengundian untuk wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri, iaitu Perlis, Perak dan Pahang.

Sementara itu, pengundian di kerusi DUN Tioman, Pahang turut ditangguhkan susulan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli kerana komplikasi jantung di Hospital Rompin kira-kira lima jam sebelum pengundian bermula pada pukul 8.00 pagi tadi.

-BTS Media

Leave a Comment