SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 14 akaun bank yang mengandungi kira-kira RM1.1 juta serta menyita pelbagai aset bernilai sekitar RM2.5 juta menerusi operasi bersepadu membanteras sindiket yang dipercayai membabitkan warga asing dan anggota penguat kuasa tempatan.
Menurut sumber, tindakan itu diambil susulan siasatan terhadap 33 individu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing yang disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Siasatan mendapati suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan melindungi warga asing di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi tujuan bekerja di Malaysia.
Sumber berkata, operasi bersepadu yang dijalankan pada hari Rabu lalu oleh Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama pejabat SPRM Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka turut membawa kepada penyitaan pelbagai aset.
Antara aset yang disita ialah wang tunai berjumlah RM393,150, 10 kereta mewah dan tiga motosikal dianggarkan bernilai kira-kira RM1.8 juta.
Turut disita, 14 keping emas seberat satu gram setiap satu dianggarkan bernilai RM8,300, selain 80 barangan kemas termasuk gelang dan cincin dengan nilai sekitar RM118,500.
Selain itu, SPRM turut menyita tiga utas jam tangan bernilai kira-kira RM42,200, sebuah beg tangan mewah bernilai sekitar RM9,000 serta 17 telefon bimbit dianggarkan bernilai RM48,000.
Sumber memaklumkan bahawa setakat ini sembilan kertas siasatan telah dibuka, manakala operasi bersepadu yang dijalankan di empat negeri itu turut menyaksikan pembekuan akaun syarikat dan akaun individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
Menurut sumber lagi, seorang lagi pegawai penguat kuasa ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Dalam operasi Op Layer di Putrajaya, Op Dalang di Selangor, Op Raider di Negeri Sembilan dan Op Genuine di Melaka pada hari Rabu lalu, SPRM menahan 38 individu, dengan 33 daripadanya direman bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, mengesahkan perkara berkenaan. Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.
-BTSMedia.my



