KUALA LUMPUR: Peguam Muhammad Shafee Abdullah dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib Razak dan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Shafee.Muhammad Jamil berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan berhubung elemen yang perlu dibuktikan dalam kesalahan terhadap tertuduh.
Saksi kelapan pendakwaan dalam keterangannya juga mengesahkan tiada aktiviti haram yang berlaku dan penerimaan RM4.3 juta dan RM5.2 juta diterima tertuduh melalui dua cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib adalah hasil daripada aktiviti haram.
Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan membabitkan diri dengan aktiviti pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi berkaitan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul dan bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.
Pada 12 Mei lepas, pendakwaan menutup kes selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021.
Muhammad Shafee diwakili peguam utama Harvinderjit Singh, manakala Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bertindak bagi pihak pendakwaan.
-BTS Media