GAMBAR ATAS: Theedgemarkets.
MAHKAMAH Tinggi akan memutuskan pada Jumaat (28 Okt) sama ada membebaskan atau memerintahkan peguam Muhammad Shafee Abdullah atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib Razak dan membuat pengisytiharan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Hakim Muhammad Jamil Hussin dijadual menyampaikan keputusan itu pada pukul pukul 9.00 pagi.
Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 12 Mei lalu selepas memanggil lapan saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 21 Mei 2021.
Saksi termasuk pengurus cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R.Uma Devi, pengurus CIMB Bank cawangan Bukit Tunku Rosnita Ahmad, bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad dan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, manakala Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang melalui cek yang dikeluarkan oleh Najib, yang telah dihantar ke akaun CIMB Bank Berhad milik Muhammad Shafee.
Dia didakwa menerima cek berjumlah RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan satu lagi sebanyak RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di Kuala Lumpur.
Muhammad Shafee turut didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam urus niaga hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata cukai yang tidak betul, yang melanggar perenggan 113 (1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013, dan 31 Dis 2014.
Dia didakwa gagal mengisytiharkan pendapatan RM4.3 juta yang diterima pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta yang diterima pada 17 Feb 2014 dalam penyata cukainya.
Wang itu diterima melalui dua AmIslamic Bank Berhad milik Najib dan dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad miliknya (Muhammad Shafee).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN cawangan Jalan Duta di Kompleks Pegawai Diraja, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 3 Mac 201c5 dan 29 Jun 2015.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan .
-BTS Media