BTS Media

Pelajar perempuan Tingkatan Tiga didakwa cuba bunuh rakan sekolah

SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Tiga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Banting hari ini atas pertuduhan cuba membunuh rakan sekolahnya dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah di daerah ini pada hari Isnin lalu.

Tertuduh yang berusia 15 tahun didakwa cuba membunuh mangsa yang juga berusia 15 tahun dengan menyerangnya menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan, dengan niat menyebabkan kematian mangsa. Kejadian didakwa berlaku kira-kira pukul 9.50 pagi pada 6 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat, namun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana mahkamah menunggu laporan penilaian psikiatri terhadap remaja berkenaan.

Mahkamah turut membenarkan permohonan bersama pihak pendakwaan dan pembelaan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan bagi menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, yang melibatkan tertuduh yang disyaki tidak sempurna akal.

Prosiding dijalankan secara tertutup kerana mahkamah bersidang sebagai Mahkamah Bagi Kanak-Kanak.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid berkata pertuduhan dibacakan kepada remaja itu yang menganggukkan kepala sebagai tanda memahami pertuduhan berkenaan. Beliau berkata ibu tertuduh turut berada di sisi anaknya sepanjang prosiding.

Menurut beliau, kedua-dua pihak bersetuju supaya tertuduh menjalani penilaian psikiatri selama sebulan. Katanya, pihak pembelaan turut mengemukakan laporan psikiatri serta kad Orang Kurang Upaya (OKU) milik tertuduh kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 11 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh dibawa ke mahkamah dengan kawalan keselamatan ketat selepas tamat tempoh reman selama empat hari.

Media tidak dibenarkan membuat liputan prosiding memandangkan tertuduh ialah seorang kanak-kanak yang identitinya dilindungi undang-undang. Lebih 20 wartawan dan jurugambar turut tidak dibenarkan memasuki pekarangan mahkamah sehingga tertuduh bersama konvoi polis meninggalkan kawasan berkenaan selepas prosiding selesai kira-kira jam 10.30 pagi.

Wakil media juga tidak dibenarkan berteduh di dalam kawasan mahkamah ketika hujan renyai seketika.

Usaha mendapatkan reaksi daripada peguam tertuduh tidak berjaya apabila pasukan pembelaan mengelak daripada ditemui media dan meninggalkan kompleks mahkamah melalui laluan berbeza.

Sebelum ini dilaporkan, remaja berkenaan tidak hadir ke sekolah selama lapan bulan kerana masalah kesihatan dan mengikuti pembelajaran dari rumah sambil menjalani rawatan perubatan.

Semalam, Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar berkata siasatan awal mendapati suspek memasuki kawasan sekolah selepas mendapati pintu pagar dibiarkan terbuka. Beliau berkata senjata yang dipercayai digunakan disimpan di dalam beg yang dibawa suspek.

Mangsa pula mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital.

-BTSMedia.my

Leave a Comment