GAMBAR ATAS: Baha Haji Arsat, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Zainal AS Rashid
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan bahawa pelajar dibenarkan menyambung semula aktiviti luar di sekolah.
Keputusan itu dibuat selepas pertimbangan keadaan semasa dan memastikan langkah-langkah yang sesuai disediakan untuk menangani risiko keadaan cuaca panas.
KPM dalam satu kenyataan berkata, kebenaran itu diberi berdasarkan garis panduan aktiviti di luar institusi pendidikan di kementerian semasa cuaca panas.
Pada 5 Mei lalu, KPM mengarahkan semua aktiviti luar di sekolah dihentikan, termasuk larian merentas desa dan semua aktiviti pembelajaran dijalankan di dalam bilik darjah.
Arahan itu dikeluarkan kerana cuaca panas yang melanda negara baru-baru ini hingga mengakibatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat di beberapa kawasan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kemudiannya mengeluarkan amaran Tahap 1 untuk beberapa kawasan yang mengalami suhu mencecah 35 darjah Celsius selama tiga hari.
-BTS Media