SEPASANG suami isteri dan anak perempuan mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Isnin (8 Ogos) atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
R Guna Silan, 42, isterinya, K Nagamah, 41, dan anak perempuan G Nisha, 21, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Ketiga-tiga mereka, sebagai pihak yang menjaga kanak-kanak itu, didakwa bersama kerana memukul gadis itu dengan rotan, menendang dan menyimbahnya dengan air panas, menyebabkan dia mengalami kecederaan di belakang, dada, kaki, kepala dan muka.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan, Bandar Seri Jempol antara 15 dan 19 Julai.
Pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika didapati bersalah.
Hakim Norma Ismail membenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Mereka membayar ikat jamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Noor Hashimi, manakala peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili ketiga-tiga tertuduh.
-BTS Media