BTS Media

Peluang terakhir untuk vaksin kanak-kanak

 

Oleh Zainal AS Rashid

Selepas hari ini dos pertama vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak tidak lagi diberikan percuma.

Bagaimanapun, ada pengecualian bagi dua kumpulan, iaitu mereka yang belum mencapai usia lima tahun antara 31 Mei dan 31 Disember, dan kanak-kanak yang dijangkiti atau mempunyai ibu bapa yang dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.

Mereka yang menangguhkan vaksinasi mereka kerana jangkitan boleh mendaftar melalui MySejahtera untuk temu janji atau dapatkan dos percuma dari Klinik Kesihatan terdekat.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi berkata tarikh terakhir bagi kedua-dua kumpulan untuk mendapatkan dos pertama ialah 31 Jan 2023.

Beliau yang juga pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (CITF-C) berkata, individu lain yang belum menerima dos pertama vaksin mereka perlu mendapatkannya secara berbayar daripada mana-mana klinik swasta, yang akan menentukan harganya.

Buat masa sekarang mereka hanya boleh memberikan dos Coronovac (Sinovac).

Noor Azmi berkata harga vaksin itu sepatutnya selaras dengan harga siling, tetapi klinik boleh mengenakan bayaran untuk perkhidmatan, konsultasi, peralatan pakai buang dan barangan lain.

Harga siling bagi vaksin Sinovac dihadkan pada RM77 untuk runcit dan RM62 bagi peringkat borong. Bagaimanapun, pihak penjagaan kesihatan swasta masih belum memutuskan harga diselaraskan.

Setakat ini sejumlah 1.16 juta kanak-kanak atau 32.9% telah menerima vaksinasi penuh sejak program PICKids bermula pada 3 Februari, manakala 1.71 juta atau 48.3% menerima sekurang-kurangnya satu dos.

-BTS Media

Leave a Comment