BTS Media

Polis dapat beribu IP perkongsian lucah kanak-kanak, perlu lebih banyak sumber untuk bertindak

GAMBAR ATAS: ACP Siti Kamsiah / Foto: The Star

 

Oleh Zainal AS Rashid

Polis menerima puluhan ribu alamat IP (Internet protocol) daripada pihak berkuasa antarabangsa yang disyaki berkongsi pornografi kanak-kanak sejak enam tahun lalu.

Namun, disebabkan petugas dan kepakaran , jumlah tangkapan dan pemeriksaan adalah tidak seimbang jika dibandingkan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, sejak 2017 hingga Mac tahun ini, polis menerima sebanyak 93,368 alamat IP yang disyaki terlibat dalam aktiviti itu menerusi sistem perkongsian maklumat Interpol, FBI dan Pusat Kebangsaan Kanak-Kanak Hilang dan Dieksploitasi, lapor Bernama.

Kerana kekurangan kakitangan terlatih, hanya 103 alamat IP diperiksa hingga membolehkan penahanan 50 suspek.

Unit siasatan D11 Internet Jenayah Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) hanya terdiri daripada tiga pegawai

Beliau berkata maklumat yang diterima diteliti oleh unit siasatan D11 Internet Jenayah Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) yang kini hanya terdiri daripada tiga pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.

Bahagian D11 berharap peruntukan dalam Bajet 2022 melibatkan penambahan kakitangan dan peruntukan kewangan dapat disegerakan supaya polis boleh bertindak lebih berkesan dalam memerangi jenayah membabitkan kanak-kanak,” kata Siti Kamsiah baru-baru ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat tahun lepas berkata bahawa peruntukan RM13 juta dan 100 jawatan baharu akan disediakan untuk D11 bagi menangani sebarang bentuk keganasan dan jenayah terhadap kanak-kanak dan wanita.

Menurut Siti Kamsiah kertas kerja rancangan D11 untuk mendapatkan peruntukan itu telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada Mac.

Dengan peruntukan itu, D11 merancang untuk menubuhkan MICAC di setiap kontinjen polis dengan sekurang-kurangnya seorang pegawai penyiasat berbanding hanya tiga pegawai di peringkat Bukit Aman pada masa ini.

Beliau berkata ia perlu memandangkan aktiviti termasuk melayari, memuat naik dan memuat turun pornografi kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun.

Mengikut maklumat yang diterima polis, pada 2017 hanya 46 alamat IP disyaki terlibat dan ia naik kepada 2,660 pada 2018; 9,017 pada 2019; 18,508 pada 2020; 48,752 tahun lepas, dan 14,385 dalam tiga bulan pertama tahun ini.

Susulan itu, beliau berkata jumlah tangkapan juga meningkat. Dari 2017 hingga 2019, hanya dua individu ditahan. Jumlah meningkat 22 pada 2020 dan 24 tahun lepas.

Bagi tiga bulan pertama tahun ini, dua individu ditahan kerana terlibat dalam kegiatan itu,” katanya.

Memandangkan peningkatan yang membimbangkan itu, beberapa agensi penguat kuasa antarabangsa menawarkan untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi memesatkan usaha menangani kegiatan tersebut.

Siti Kamsiah berkata penahanan seorang pedofil berusia 41 tahun dari Lundu, Sarawak, yang dijatuhi hukuman penjara 48 tahun enam bulan dan 15 sebatan tahun lepas, dapat dilakukan melalui perkongsian maklumat seumpama itu.

Beliau berkata pesalah itu bukan setakat memuat naik video lucah kanak-kanak di web gelap (dark web), tetapi juga mengaku mencabul dan mendandani kanak-kanak sejak menjadi pelajar di sebuah universiti tempatan di Selangor pada 2002.

-BTS Media

Leave a Comment