Oleh Zainal AS Rashid
POLIS telah menahan sepasang suami isteri kerana didakwa mendera seorang kanak-kanak, selepas video tindakan tersebut ditularkan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Zaid Hassan berkata, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu adalah anak warga Indonesia, tetapi tidak mempunyai sebarang dokumen.
Katanya, kanak-kanak itu berada di bawah jagaan pasangan tersebut sejak April kerana si ibu tidak mampu menjaganya.
Siasatan awal mendapati kanak-kanak yang dikatakan hiperaktif itu diberi makan secara paksa sehingga muntah.
Polis juga mengesyaki dia juga dipukul dengan penyangkut dan penyapu, dan dicucuh tubuhnya dengan pemetik api beberapa kali.
Selepas menerima laporan pada tengah malam, polis Kajang telah pergi menyelamatkan mangsa pada pukul 2.30 pagi Jumaat dan seterusnya menahan seorang lelaki tempatan bersama seorang wanita warga Singapura di sebuah rumah di Beranang, Selangor.
Dalam satu kenyataan Zaid berkata mereka direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai.
Kanak-kanak perempuan itu dihantar ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan akibat kecederaannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak kerana mengabai dan mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali.
-BTS Media