BTS Media

Polis nafi taktik penjenayah guna kanak-kanak jalanan untuk perangkap mangsa

Oleh Yusoff A. Shariff

PALSU: Mesej tular kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengeluarkan amaran bahawa kanak-kanak jalanan digunakan oleh penjenayah untuk memerangkap mangsa.

“Notis” itu mendakwa bahawa kanak-kanak jalanan akan mendekati orang ramai, menunjukkan kepada mereka sekeping kertas dengan alamat rumah mereka tertulis di atasnya dan meminta bantuan untuk pulang ke rumah.

Menurut mesej itu lagi, sesiapa yang membantu kanak-kanak berkenaan meletakkan diri mereka dalam bahaya, termasuk dirogol, dicuri organ mereka atau dibunuh.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan mengesahkan mesej itu adalah palsu.

Beliau berkata PDRM mengesahkan tiada mesej sedemikian dikeluarkan oleh PDRM atau KDN.

Dalam satu kenyataan pada Selasa (6 Sept), beliau berkata semakan menunjukkan tiada laporan polis diterima berhubung jenayah seperti yang didakwa dalam mesej tular itu.”

ACP Skandaguru menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas di media sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya didekati secara begitu, orang ramai diminta membawa kanak-kanak tersebut ke balai polis.

-BTS Media

Leave a Comment