Oleh Yusoff A. Shariff
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kg Baru Sg Raya Luar, Lojing, dekat Gua Musang pada Isnin (15 Ogos).
Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4.50 petang semasa ribut petir.
Dalam satu kenyataan beliau berkata menurut bapa mangsa, M Nor Zawawi Awang, anaknya Nur Asyqin Qistina ditemui isterinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil.
“Selepas pengadu (bapa mangsa) selesai solat di surau berhampiran, dia pulang ke rumah apabila mengetahui bekalan elektrik terputus di rumahnya. Kira-kira 15 minit kemudian, dia dimaklumkan oleh isterinya bahawa anak perempuan mereka tidak sedarkan diri.
Dia kemudian memeriksa Nur Asyqin Qistina dan mendapati kesan melecur pada lengan dan tilam. Terdapat juga telefon bimbit di tangan kanan anak perempuannya dan pengecas telefon berhampirannya.
Setelah dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Betis Nur Asyqin Qistina disahkan meninggal dunia.
Menurut polis, siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian yang dipercayai berlaku akibat alat “solar inverter” di rumah pengadu disambar petir.
-BTS Media