PENDAKWA antirasuah tertinggi Indonesia, Febrie Adriansyah, meletakkan jawatan selepas polis merampas wang tunai berjuta-juta dolar serta jongkong emas dalam serbuan di beberapa premis, termasuk kediamannya, ketika menyiasat kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Pejabat Peguam Negara Indonesia memaklumkan peletakan jawatan Penolong Peguam Negara bagi Jenayah Khas itu telah diterima, manakala jurucakapnya, Anang Supriatna, berkata keputusan tersebut dibuat sebagai komitmen untuk memastikan integriti, objektiviti dan berkecuali dalam pelaksanaan undang-undang terus terpelihara.
Menurut polis, sekurang-kurangnya 12 lokasi di sekitar Jakarta dan Bogor diserbu pada hari Jumaat, termasuk sebuah rumah persendirian di Bogor, sebuah lagi kediaman di Jakarta Selatan serta sebuah kafe yang dikaitkan dengan Febrie, lapor AFP.
Jurucakap polis, Budi Hermanto, berkata pihak berkuasa merampas 74 kilogram jongkong emas selain wang tunai berjumlah AS$5.8 juta dan S$17.2 juta sebagai bahan bukti dalam siasatan.
Bagaimanapun, Febrie menafikan semua aset yang dirampas itu mempunyai kaitan dengan rasuah. Beliau mengakui rumah di Bogor adalah miliknya, namun menegaskan semua aset berkenaan boleh dijelaskan sumbernya.
Budi turut memaklumkan bahawa 15 saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan dan identiti suspek dijangka diumumkan dalam masa terdekat, namun setakat ini belum ada sebarang pertuduhan difailkan.
Media Indonesia melaporkan siasatan polis melibatkan tiga kes, termasuk dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan perolehan arang batu untuk syarikat utiliti milik kerajaan, PLN.
Sebelum mengumumkan peletakan jawatannya, Febrie dilaporkan berkata Pejabat Peguam Negara masih memberi tumpuan kepada beberapa siasatan berprofil tinggi, termasuk skandal rasuah yang dikaitkan dengan program makanan percuma utama Presiden Prabowo Subianto.
-BTSMedia.my



