AHLI Parlimen Pandan, Rafizi Ramli telah mengemukakan surat perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata bahawa perletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada 17 Jun, namun beliau akan menggunakan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun.
Menurut Rafizi, beliau menceburi politik untuk mempromosikan budaya politik baharu berdasarkan akauntabiliti dan mandat rakyat.
Menurutnya, kekalahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti itu untuk menterjemahkan agenda rakyat, seperti yang diimpikan oleh PKR, ke dalam program kerajaan.
Beliau berkata bahawa seperti amalan di negara yang menjunjung prinsip demokrasi, pemimpin parti yang kalah dalam pemilihan dalaman seharusnya memberi laluan kepada mereka yang menang untuk mengambil tempat dalam kerajaan.
Pengumuman perletakan jawatan Rafizi dibuat kira-kira lima hari selepas beliau tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR.
Awal bulan ini, Rafizi telah berjanji untuk meletak jawatan dari Kabinet jika gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun akan meletak jawatan daripada Kabinet jika tewas, beliau tidak berniat untuk meninggalkan politik dan akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan.
-BTS Media