BTS Media

UK: Liz Truss letak jawatan sebagai perdana menteri

GAMBAR ATAS: Downing Street.

 

Oleh Zainal AS Rashid

PERDANA Menteri United Kingdom Liz Truss telah mengumumkan peletakan jawatannya pada Khamis (20 Okt).

Beliau juga akan berundur selepas pergelutan selama seminggu untuk mencari penggantinya.

Pengumuman yang dibuat beliau di hadapan kediaman perdana menteri, 10 Downing Street, London itu menyusul berikutan selepas 45 hari memegang jawatan tersebut dalam kancah krisis yang menyaksikan mini bajetnya mencetuskan kejatuhan serius pasaran saham.

Pengunduran dua menteri utama kabinetnya turut menghakis keyakinan dalam kalangan hampir kesemua ahli parlimen yang berpihak kepada beliau.

Kenyataan beliau dibuat selepas pertemuan dengan pengerusi Jawatankuasa Ahli Parlimen Parti Konservatif 1922, Graham Brady di Downing Street, diikuti oleh timbalan perdana menterinya, Thérèse Coffey, dan pengerusi parti, Jake Berry, lapor The Guardian.

Truss berkata beliau asalnya memegang jawatan perdana menteri dengan “wawasan untuk melaksanakan kadar cukai rendah, pertumbuhan ekonomi tinggi yang mengambil kesempatan daripada kekangan Brexit”.

Beliau seterusnya berkata, “Saya menyedari hakikat bahawa saya tidak dapat menyampaikan mandat yang membawa kepada pemilihan diri ini (sebagai perdana menteri) oleh parti Konservatif. Oleh itu, saya telah menyatakan hasrat kepada Raja Charles III bahawa saya meletakkan jawatan sebagai ketua parti Konservatif.”

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Brady memberitahu media bahawa pemimpin baharu akan dipilih dalam tempoh seminggu. Beliau mencadangkan keahlian parti boleh memainkan peranan dalam pemilihan itu.

Eksekutif 1922 dan lembaga parti Konservatif akan bermesyuarat pada pukul 4.00 petang untuk memutuskan cara pemilihan diteruskan – tetapi ia mungkin termasuk mewajibkan calon memenuhi kriteria pencalonan MP yang tinggi.

Brady juga berkata, diharap pemimpin baharu akan dilantik pada 28 Oktober, justeru membolehkan usaha pemulihan kewangan negara yang dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober – hanya tiga hari selepas perdana menteri baharu dilantik.

Pihak pembangkang pula mendesak supaya pilihan raya baharu diadakan kerana pihak Konservatif telah kehilangan mandat untuk memerintah.

-BTS Media

Leave a Comment