Oleh Fetty Rara
BEKAS ahli parlimen Datuk Seri Hasan Arifin akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi bukan eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Menurut pemfailan kumpulan tersebut, beliau yang berkhidmat sebagai pengerusi TNB dari 1 Okt 2021 akan meletakkan jawatan pada 1 Januari 2023.
Laporan oleh The Edge Markets menyatakan bahawa beliau juga akan melepaskan jawatan pengerusi atau pengarah dalam anak syarikat dalam kumpulan syarikat TNB.
Lembaga pengarah TNB turut merakamkan penghargaan atas sumbangan beliau kepada syarikat itu.
Hasan yang merupakan Ahli Parlimen Rompin selama dua penggal tewas pada pilihan raya umum ke-15 dengan majoriti tipis 1,438 undi kepada Datuk Abdul Khalib Abdullah dari BERSATU.
Beliau juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen.
Harga saham TNB ditutup 1.72% atau 16 sen lebih tinggi kepada RM9.46 pada Khamis 29 Disember, justeru meletakkan nilai kumpulan itu pada RM54.42 bilion menurut The Edge Markets.
-BTS Media