GAMBAR ATAS: UK Prime Minister’s Office, OGL 3 <http://www.nationalarchives.gov.uk/doc/open-government-licence/version/3>, via Wikimedia Commons.
Oleh Zainal AS Rashid
BORIS Johnson akan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Britain hari ini (Khamis 7 Jul), kata sumber kerajaan.
Keputusan dibuat selepas beliau mendapati dirinya tidak lagi mendapat sokongan daripada ahli parlimen partinya sendiri (parti konservatif) yang berpendirian bahawa beliau tidak layak menyandang jawatan itu.
Dengan lapan menteri, termasuk dua setiausaha negara meletak jawatan dalam tempoh dua jam sebelum itu, Johnson yang keseorangan nampaknya terpaksa akur akan kedudukannya yang lemah, justeru mengambil keputusan untuk berundur.
Pejabat Perdana Menteri Britain di No.10, Downing Street, London telah mengesahkan bahawa Johnson akan membuat kenyataan kepada seluruh negara kemudian.
Setelah berhari-hari bergelut untuk mempertahankan kedudukannya, Johnson ditinggalkan oleh semua, kecuali segelintir ahli politik yang masih bersekutu dengannya, selepas beberapa siri skandal yang telah memaksa ramai penyokong menjauhkan diri.
Dengan pengunduran Johnson, Parti Konservatif perlu melantik pemimpin baharu. Proses itu akan memakan masa kira-kira dua bulan.
Tanda-tanda beliau bakal tergelincir daripada jawatannya muncul sebagai tanda aras politik paling kecoh dalam sejarah Britain.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Nadhim Zahawi yang baharu sahaja dilantik pada Selasa lepas turut mendesak Johnson supaya meletak jawatan.
Antara yang masih berada di sisi Johnson buat masa ini, termasuk Menteri Pertahanan Ben Wallace, dan itu pun kerana beliau perlu menjaga keselamatan negara dalam masa peralihan pucuk pimpinan politik.
-BTS Media