Oleh Zainal AS Rashid
PRESIDEN Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa telah mengesahkan peletakan jawatannya, kata pejabat perdana menteri negara itu.
Tindakannya itu menyusul selepas penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya.
Sehingga kini penunjuk perasaan masih berada di dalam kediaman presiden dan kediaman perdana menteri. Mereka akan terus berada di situ sehingga kedua-dua pemimpin meletak jawatan, lapor BBC.
Sabtu lepas speaker parlimen berkata presiden akan melepaskan jawatan pada 13 Julai.
Bagaimanapun, kebanyakan penunjuk perasaan tidak yakin dengan pengumuman tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini (Isnin11 Jul), pejabat Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe berkata ia telah dimaklumkan secara rasmi oleh Rajapaksa bahawa beliau akan berundur pada Rabu. Bagaimanapun, beliau sendiri belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
Di bawah perlembagaan Sri Lanka, peletakan jawatan presiden hanya boleh diterima secara rasmi apabila beliau menyatakannya melalui surat kepada speaker parlimen – yang masih belum dibuat
Di mana Rajapaksa berada pada masa ini tidak didedahkan, tetapi sumber tentera memberitahu BBC bahawa beliau berada di atas kapal tentera laut di perairan Sri Lanka.
Abangnya, bekas Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa, berada di sebuah lagi pangkalan tentera laut.
Sebelum ini pada Sabtu, beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri ibu negara Sri Lanka, untuk menuntut supaya presiden meletak jawatan segera.
Mereka berkata Rajapaksa dipersalahkan kerana salah urus ekonomi negara hingga berlaku krisis kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan sejak beberapa bulan lalu.
Penganalisis politik dan peguam hak asasi manusia Bhavani Fonseka meramalkan keadaan politik beberapa hari tidak menentu sehingga rakyat pasti kedua-dua pemimpin tertinggi negara itu betul-betul meletak jawatan.
Sementara itu, pada Ahad para pemimpin politik mengadakan beberapa mesyuarat bagi membincangkan peralihan kuasa secara teratur.
Menurut speaker parlimen, sebuah kerajaan gabungan pelbagai parti perlu ditubuhkan dalam tempoh seminggu selepas presiden meletakkan jawatan.
-BTS Media