BTS Media

Sri Lanka menantikan peletakan jawatan presiden yang melarikan diri

GAMBAR: NYT.

 

Oleh Zainal AS Rashid

SELURUH Sri Lanka sedang menunggu peletakan jawatan Presiden Gotabaya Rajapaksa pada Khamis, sehari selepas beliau melarikan diri ke Maldives.

Beliau dijangka menuju ke Singapura, tetapi destinasi sebenarnya masih belum diketahui.

Tindakan beliau itu ialah untuk menyelamatkan diri daripada kebangkitan rakyat yang marah melihat negara menghadapi krisis ekonomi berikutan salah urus kerajaan.

Keputusannya pada Rabu untuk menjadikan sekutunya Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe sebagai pemangku presiden mencetuskan lebih banyak protes, dengan penunjuk perasaan menyerbu pejabat perdana menteri bagi menuntut beliau berhenti juga.

Sebelum ini, Rajapaksa telah berulang kali memberi jaminan kepada speaker parlimen bahawa beliau akan meletak jawatan pada Rabu, tetapi surat peletakan jawatannya tidak juga diterima.

Sumber hospital berkata sekurang-kurangnya 45 orang dimasukkan ke hospital berikutan pertempuran antara polis rusuhan dan penunjuk perasaan pada malam Rabu berhampiran bangunan parlimen, ketika orang ramai mendesak penggulingan Rajapaksa dan Wickremesinghe.

Media tempatan berkata, seorang penunjuk perasaan berusia 26 tahun yang dimasukkan ke hospital selepas terkena gas pemedih mata meninggal dunia akibat kesukaran bernafas.

Perintah berkurung semalaman yang diarahkan oleh pemangku presiden berakhir awal Khamis tanpa tangkapan, kata jurucakap polis Nalin Thalduwa.

Rajapaksa, isteri dan dua pengawal peribadinya berlepas menaiki pesawat tentera udara dari sebuah lapangan terbang antarabangsa berhampiran Colombo awal semalam (Rabu).

Media Maldives berkata beliau kini sedang menunggu jet peribadi untuk terbang ke Singapura.

Parlimen Sri Lanka dijangka menamakan presiden baharu minggu depan.

Bantahan terhadap krisis ekonomi terburuk Sri Lanka sejak merdeka daripada Britain pada 1948 membara selama berbulan-bulan dan memuncak pada hujung minggu lalu apabila ratusan ribu penunjuk perasaan menyerbu dan menguasai bangunan kerajaan di Colombo.

Rakyat Sri Lanka menyalahkan kerajaan pimpinan Rajapaksa kerana menyebabkan inflasi teruk yang mencetuskan krisis ekonomi berikutan rasuah berleluasa dalam kerajaan.

-BTS Media

Leave a Comment