PRESIDEN Sri Lanka yang digulingkan, Gotabaya Rajapaksa, 73, dijangka tiba di Thailand esok, bagi mendapatkan perlindungan sementara di negara Asia Tenggara kedua selepas melarikan diri dari negaranya bulan lalu di tengah-tengah bantahan besar-besaran, kata dua sumber.
Rajapaksa melarikan diri ke Singapura pada 14 Julai, melalui Maldives, berikutan pergolakan yang dicetuskan oleh krisis ekonomi terburuk Sri Lanka dalam tujuh dekad dan sehari selepas beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman dan pejabat rasmi presiden, lapor Reuters.
Dia melepaskan jawatan presiden, dan mencipta sejarah sebagai presiden Sri Lanka pertama berhenti sebelum tamat penggal.
Bekas presiden itu dijangka meninggalkan Singapura dan terbang Bangkok esok.
Kementerian Luar Sri Lanka tidak segera menjawab permintaan untuk komen, manakala jurucakap kerajaan Thailand, Ratchada Thanadirek tidak mahu memberikan sebarang komen kepada Reuters.
Rajapaksa tidak muncul di khalayak atau memberikan sebarang komen umum sejak meninggalkan Sri Lanka, dan kerajaan Singapura bulan ini berkata bahawa dia tidak diberikan sebarang keistimewaan atau kekebalan.
Semasa dia memegang jawatan sebagai setiausaha pertahanan, tentera Sri Lanka akhirnya berjaya menundukkan pemberontak kumpulan militan Harimau Tamil pada 2009, justeru  menamatkan perang saudara Sri Lanka.
Beberapa kumpulan hak asasi kini mahukan supaya Rajapaksa yang didakwa melakukan jenayah perang disiasat. Rajapaksa sebelum ini dengan tegas menafikan dakwaan itu.
Beberapa pengkritik dan penunjuk perasaan juga menuduh Rajapaksa dan keluarganya salah mengendalikan ekonomi semasa penggalnya sebagai presiden, hingga membawa kepada krisis kewangan terburuk negara itu sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1948.
Abangnya, Mahinda Rajapaksa, adalah bekas presiden dan perdana menteri. Adiknya, Basil Rajapaksa, berkhidmat sebagai menteri kewangan sehingga awal tahun ini.
Pengganti Rajapaksa, Ranil Wickremesinghe, sebelum ini memberitahu Wall Street Journal dalam satu wawancara bahawa bekas presiden itu dinasihatkan supaya  jangan pulang ke Sri Lanka dalam masa terdekat.
Jika Rajapaksa kembali ke Sri Lanka, dia mungkin tidak mendapat perlindungan di bawah undang-undang jika sebarang pertuduhan difailkan terhadapnya, kata pakar undang-undang.
-BTS Media