GAMBAR ATAS: Utusan.
Oleh Zainal AS Rashid
ADUN Gurun Datuk Johari Abdul mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.
Johari daripada PKR yang merupakan ketua Pembangkang Kedah mengumumkan perkara itu dalam video pada kira-kira 8.30 pagi Ahad (18 Dis).
Menurut Sinar Harian, Johari dijangka bakal menjadi calon speaker Parlimen.
“Saya, Datuk Johari Abdul, ADUN Gurun di Kedah, telah menghantar surat kepada Speaker negeri Datuk Juhari Bulat dan ia telah diterima pada 13 Dis.
“Surat itu mengumumkan saya mengosongkan kerusi itu berkuat kuasa serta-merta.
“Justeru, saya berterima kasih kepada Yang di-Pertua kerana membenarkan saya mengambil bahagian secara aktif di DUN serta kepada rakyat dan pengundi di Gurun kerana memberi kerjasama sepanjang penggal saya,” kata Johari dalam video itu.
Pada 2018, Johari memenangi kerusi DUN Gurun dan pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Petani selama tiga penggal dari 2008 hingga 2022, tetapi tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 baru-baru ini kerana Kedah hanya mengadakan pilihan raya untuk peringkat Parlimen.
Memandangkan akan ada pilihan raya negeri tidak lama lagi di Kedah, adalah tidak pasti sama ada akan berlaku pilihan raya kecil untuk mengisi kerusi yang dikosongkan oleh beliau.
-BTS Media