Oleh Fetty Rara
MCA menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletakkan jawatannya sebagai Menteri Kewangan bagi memberikan tumpuan penuh kepada pentadbiran negara.
Ketua Penerangan pusat parti itu, Mike Chong Yew Chuan berkata Anwar mesti melantik Menteri Kewangan kedua yang boleh memberi tumpuan kepada isu ekonomi, supaya beliau dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada isu-isu nasional.
“Pelantikan baharu bagi jawatan ini akan meningkatkan ekonomi negara kita dan menjana lebih banyak peluang pekerjaan.
“Beliau akan dapat menjawab isu-isu utama secara lebih makro dan komprehensif dan memastikan penyelarasan dan konsistensi dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan Facebook pada Selasa.
Chong yang baru dilantik sebagai timbalan ketua sayap Pemuda MCA itu turut mencadangkan agar Anwar memecat Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu kerana mereka didakwa hanya menimbulkan kontroversi selepas gagal menjalankan tugas.
Tambahnya, Anwar mesti mengambil langkah segera kerana rakyat kini dibebani dengan kenaikan kos sara hidup dan pendapatan yang tidak stabil sedangkan kerajaan tidak mempunyai hala tuju yang jelas untuk ekonomi.
“Berikutan itu, kami menyeru Perdana Menteri untuk mempertimbangkan pilihan yang saya cadangkan untuk memberi tumpuan kepada menyelesaikan dilema ekonomi negara,” katanya.
-BTS Media