BTS Media

Iran tempelak Trump, dakwa tiada langsung minta rundingan dengan AS

IRAN menafikan dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa negara itu meminta rundingan diteruskan dengan Washington, sambil menegaskan tiada sebarang permintaan dikemukakan kepada AS.

Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata dakwaan Trump itu tidak berasas dan menegaskan sebarang proses diplomatik hanya boleh berlaku mengikut kepentingan serta syarat yang ditetapkan Tehran.

Menurut beliau, Iran juga memberi amaran bahawa sebarang tindakan AS yang melanggar komitmen atau persefahaman sedia ada akan dibalas dengan tindakan timbal balas.

Terdahulu, Trump mendakwa Iran telah meminta supaya dialog dengan AS diteruskan dan Washington bersetuju untuk berbuat demikian, namun pada masa sama beliau menyatakan gencatan senjata sebelum ini sudah tidak lagi berkuat kuasa.

Penafian Tehran sekali lagi memperlihatkan jurang ketara antara kenyataan kedua-dua negara ketika usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan di Asia Barat masih berdepan pelbagai halangan.

Hubungan antara Iran dan AS terus tegang susulan konflik serta pertikaian berhubung program nuklear Iran dan keselamatan di Selat Hormuz, dengan kedua-dua pihak saling mengeluarkan kenyataan yang bercanggah mengenai hala tuju rundingan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment