BTS Media

Sanders kecam tindakan Trump hidupkan semula perang dengan Iran

SENATOR Amerika Syarikat, Bernie Sanders, yang terkenal sebagai tokoh politik berhaluan progresif dan lantang mengkritik dasar luar Washington, mengecam tindakan Presiden Donald Trump menghidupkan semula konflik dengan Iran.

Kenyataan itu dibuat susulan siri serangan udara terbaharu tentera Amerika Syarikat ke atas beberapa sasaran ketenteraan Iran, termasuk sistem pertahanan udara, pusat kawalan dan kemudahan peluru berpandu di sekitar Selat Hormuz.

Menerusi satu hantaran di platform X, Sanders berkata keputusan untuk menyambung semula tindakan ketenteraan terhadap Iran tidak akan menjadikan Amerika Syarikat lebih kuat.

Sebaliknya, beliau berkata tindakan itu hanya akan mengheret negara berkenaan ke dalam satu lagi konflik yang berpanjangan.

Beliau menegaskan perang yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab itu akan mengakibatkan kehilangan lebih banyak nyawa, selain membebankan rakyat Amerika dengan kos peperangan yang tinggi.

Sanders turut mendakwa Trump telah mengisytiharkan gencatan senjata dengan Iran sebagai berakhir walaupun perjanjian itu belum pun mencapai tempoh sebulan.

Menurut beliau, pengisytiharan itu dibuat selepas Washington melancarkan gelombang baharu serangan terhadap sasaran di Iran dengan alasan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal-kapal perdagangan di Selat Hormuz.

Sanders berkata selepas sebelum ini membawa Amerika Syarikat ke dalam peperangan yang didakwanya berasaskan pembohongan, Trump kini sekali lagi mengambil langkah yang berisiko meningkatkan ketegangan di Asia Barat serta menjejaskan usaha diplomatik untuk meredakan konflik di rantau itu.

BTSMedia.my

Leave a Comment