SEKURANG-KURANGNYA 20 individu cedera manakala lebih 30 motosikal terbabit dalam nahas ngeri di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, hari ini, yang turut meragut nyawa empat penunggang motosikal.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata semua mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Hospital Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu membabitkan lebih 30 motosikal selain sebuah kereta.
Menurutnya, nahas berlaku ketika konvoi motosikal Yamaha RXZ bersama sebuah kereta dalam perjalanan menghala ke Kemaman sebelum berlaku pelanggaran yang mengakibatkan empat penunggang motosikal maut.
Beliau berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, masing-masing dikenali sebagai Che Mohd Sufian Che Ghani, 40; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33; dan Mohd Aizat Husni, 33.
Katanya, seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA.
Dalam kejadian sama, seorang penumpang kereta berusia 13 tahun dilaporkan mengalami kecederaan pada leher, manakala pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
-BTSMedia.my



