JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan satu sindiket mengemis yang dipercayai didalangi warga asing selepas menahan lima wanita warga Indonesia yang disyaki mengeksploitasi individu orang kurang upaya (OKU) warga tempatan bagi meraih simpati orang ramai untuk mendapatkan sumbangan.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata, operasi kira-kira pukul 10 malam Jumaat di sekitar Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman membawa kepada pemeriksaan terhadap 10 individu, membabitkan lima rakyat Malaysia dan lima warga asing.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan lima wanita Indonesia berusia antara 29 hingga 56 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.
Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai diketuai warga Indonesia yang memperalatkan individu cacat penglihatan warga Malaysia untuk meraih simpati orang ramai sebelum mengutip derma.
Beliau berkata, suspek akan menemani individu OKU ke kawasan tumpuan awam, khususnya di premis makanan pada waktu malam, sambil menyamar sebagai pasangan suami isteri bagi mengelakkan kegiatan mereka menimbulkan syak wasangka.
Katanya, setiap individu yang menghulurkan sumbangan akan diberikan tisu sebagai helah bagi mewujudkan tanggapan bahawa aktiviti tersebut adalah jualan yang sah.
Menurut Zakaria, sindiket itu dipercayai mampu mengaut antara RM100 hingga RM200 setiap malam dan telah aktif sejak awal bulan Januari lalu.
Beliau berkata, semakan awal turut mendapati dua daripada suspek menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara bagi sektor pembantu rumah serta Pas Lawatan Sosial.
Seorang lagi didapati tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, manakala dua lagi tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Dalam operasi sama, JIM turut merampas tiga pasport Indonesia, beberapa barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mengemis serta wang tunai RM159 yang disyaki hasil kutipan sindiket berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Zakaria berkata, JIM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara terus terpelihara.
-BTSMedia.my



