KESIHATAN jantung perlu diberi perhatian sejak usia muda.
Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan supaya individu berusia bawah 35 tahun menjalani sekurang-kurangnya satu pemeriksaan bagi mengesan risiko penyakit kardiovaskular.
Bagi mereka yang berusia 35 tahun ke atas pula, pemeriksaan kesihatan secara berkala disyorkan sebagai langkah mengenal pasti risiko lebih awal.
Penyakit kardiovaskular kini menjadi punca utama kematian dan kecacatan di 27 negara anggota EU, dengan kira-kira 1.7 juta kematian direkodkan setiap tahun. Dianggarkan 62 juta penduduk blok itu terjejas akibat penyakit berkaitan jantung.
Cadangan itu dikemukakan Suruhanjaya Eropah, badan eksekutif EU, susulan kebimbangan terhadap peningkatan penyakit jantung walaupun faktor risikonya seperti tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, diabetes dan obesiti boleh dikurangkan jika dikesan lebih awal.
Suruhanjaya itu mahu amalan pemeriksaan kesihatan yang lebih seragam diwujudkan di seluruh EU, memandangkan hanya sebilangan kecil negara anggota kini mempunyai program saringan sedemikian.
Bagi individu bawah 35 tahun, sekurang-kurangnya satu pemeriksaan yang merangkumi tekanan darah, paras gula dalam darah dan kolesterol disyorkan, lapor AFP.
Mereka yang berusia antara 35 hingga 64 tahun pula dicadangkan menjalani pemeriksaan lebih menyeluruh sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun. Pemeriksaan itu termasuk faktor gaya hidup, fungsi pernafasan, kesihatan reproduktif dan kesihatan mental.
Bagi golongan berusia 65 tahun ke atas, pemeriksaan disyorkan setiap tiga hingga lima tahun.
Pesuruhjaya Kesihatan EU, Oliver Varhelyi, berkata langkah itu penting bagi membantu orang ramai mengamalkan cara hidup lebih sihat sejak usia muda, selain membolehkan risiko kesihatan dikenal pasti lebih awal.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kadar merokok dan penggunaan vape yang tinggi dalam kalangan golongan muda, selain masalah obesiti serta kurang aktiviti fizikal.
Cadangan EU itu dilihat sebagai usaha memperkukuh pencegahan penyakit jantung, dengan memberi tumpuan kepada pengesanan awal sebelum faktor risiko berkembang menjadi masalah kesihatan yang lebih serius.
-BTSMedia.my



