BTS Media

Kajian bongkar keluarga diraja Belanda raih €500 juta hasil penjajahan dan perhambaan

AMSTERDAM: Raja Belanda Willem-Alexander mengakui terkesan secara peribadi dengan dapatan kajian Universiti Leiden yang mendedahkan keluarga diraja Belanda memperoleh keuntungan besar daripada sistem penjajahan dan perhambaan selama berabad-abad.

Kajian setebal lima jilid yang ditauliahkan sendiri oleh Willem-Alexander pada tahun 2022 itu mendapati keluarga Keluarga Diraja Oranje-Nassau, yang memerintah Belanda, menganggap penjajahan sebagai satu sumber manfaat yang sah kepada negara tersebut.

Menurut kajian itu, keluarga diraja memperoleh nilai bersamaan kira-kira €500 juta (RM2.3 bilion) melalui hubungan mereka dengan Syarikat Hindia Timur Belanda atau VOC serta tanah jajahan Belanda.

Willem-Alexander, 59, menyifatkan kesimpulan kajian berkenaan sebagai jelas dan mengejutkan ketika menerima hasil penyelidikan itu di Universiti Leiden pada hari Jumaat.

Beliau turut menyorot kegagalan anggota keluarganya pada masa lalu untuk memainkan peranan sebagai kepimpinan yang menentang arus dalam berdepan sistem penjajahan dan perhambaan.

Sistem perhambaan merupakan antara sumber yang membantu membiayai apa yang dikenali sebagai zaman kegemilangan Belanda pada abad ke-16 dan ke-17, ketika negara itu berkembang pesat menerusi perdagangan maritim.

Empayar Belanda ketika kemuncaknya merangkumi wilayah yang kini dikenali sebagai Indonesia, Suriname serta beberapa kepulauan Caribbean.

Willem-Alexander berkata dapatan itu merupakan satu kesimpulan yang perit dan sukar dihadapi, malah memberi kesan kepadanya walaupun beliau hanya tiga generasi selepas leluhurnya yang terlibat.

Beliau sebelum ini memohon maaf pada tahun 2023 atas kegagalan leluhurnya mengambil tindakan terhadap perhambaan.

Menurutnya, kajian terbaharu itu merupakan sebahagian daripada proses berterusan keluarga diraja untuk berdepan dengan sejarah buruk silam mereka, selain menyatakan tekad untuk meneruskan usaha ke arah penyembuhan dan perdamaian.

Ketua suruhanjaya kajian, ahli sejarah Gert Oostindie, berkata keluarga diraja memberikan sokongan aktif dan tanpa mengambil kira soal moral terhadap sistem penjajahan, termasuk perhambaan, lapor AFP.

Bagaimanapun, para penyelidik menjelaskan bahawa keluarga diraja hanya jarang memainkan peranan utama dalam menentukan dasar penjajahan.

Sebaliknya, menurut mereka, keluarga Orange lebih banyak berperanan memberikan legitimasi secara simbolik kepada empayar kolonial Belanda di mata masyarakat ketika itu.

-BTSMedia.my

Leave a Comment