GAMBAR: Berita Harian
JENAZAH Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, pada pukul 5.58 petang hari ini, dalam istiadat pengebumian penuh penghormatan negara.
Jenazah Allahyarham tiba di kawasan perkuburan itu kira-kira pukul 5.50 petang selepas dibawa dari Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan, tempat solat jenazah diadakan selepas solat Asar.
Istiadat pengebumian itu disempurnakan dengan kehadiran suami Allahyarham, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, serta anggota keluarga.
Jenazah dibawa oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia sebagai sebahagian daripada istiadat pengebumian negara yang diberikan kepada Allahyarham.
Sebelum ini diumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk memberikan Istiadat Pengebumian Negara kepada Dr Siti Hasmah sebagai penghormatan atas sumbangan dan jasa beliau kepada negara.
Dr Siti Hasmah, 100, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada 9.20 pagi hari ini.
Allahyarham dikebumikan bersebelahan pusara Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Suasana di Pusara Negara turut disaksikan kehadiran orang ramai yang mula berkumpul seawal 1 petang bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh wanita berkenaan.
Sebelum itu, lebih 2,000 jemaah hadir di Masjid As Syarif untuk menunaikan solat jenazah Allahyarham.
Pemergian Dr Siti Hasmah turut mendapat ucapan takziah daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Allahyarham dikenang sebagai antara doktor wanita Melayu terawal di negara ini, selain sumbangan panjang dalam bidang kesihatan awam, khususnya berkaitan kesihatan ibu dan kanak-kanak.
Beliau juga pernah memainkan peranan sebagai isteri Perdana Menteri sebanyak dua kali ketika Tun Dr Mahathir menerajui negara, masing-masing dari 1981 hingga 2003 dan 2018 hingga 2020.
-BTSMedia.my



