BTS Media

Jenazah Tun Dr Siti Hasmah dibawa pulang, dikebumikan di Putrajaya petang ini

JENAZAH Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dibawa pulang dari Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 10.48 pagi ini.

Perkara itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Jenazah tiba di kediaman pasangan itu di The Mines, Seri Kembangan, pada kira-kira pukul 11.15 pagi.

Solat jenazah dijadualkan selepas solat Asar hari ini di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Kuala Lumpur, sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya.

Dr Siti Hasmah yang genap berusia 100 tahun pada 12 Julai lalu, merupakan antara wanita Melayu terawal menceburi bidang perubatan dan dikenali atas sumbangannya dalam bidang kesihatan ibu serta kanak-kanak.

Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor pada tahun 1926, beliau melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan merupakan satu-satunya wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di institusi itu, beliau bertemu Dr Mahathir sebelum kedua-duanya mendirikan rumah tangga pada 1956.

Dr Siti Hasmah kemudiannya memulakan kerjaya dalam perkhidmatan perubatan kerajaan dan pada tahun 1965.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah, dengan tumpuan kepada pelaksanaan program kesihatan untuk masyarakat luar bandar.

Beliau bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 1979 sebelum berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Pergigian Universiti Malaya.

Sepanjang dua tempoh Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, Dr Siti Hasmah memainkan peranan sebagai isteri Perdana Menteri dari 1981 hingga 2003 dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020.

Selain tugas rasmi, beliau turut aktif dalam pelbagai pertubuhan kebajikan, pendidikan dan kemasyarakatan, khususnya berkaitan kebajikan wanita, kesihatan awam, pembangunan belia serta kesejahteraan keluarga.

Pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata.

Di luar bidang perubatan dan kerja kemasyarakatan, Dr Siti Hasmah turut dikenali sebagai pemuzik berbakat yang mahir bermain biola dan piano serta terus mengekalkan minatnya terhadap muzik sepanjang hayat.

-BTSMedia.my

Leave a Comment