BTS Media

Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun

NEGARA kehilangan seorang tokoh wanita yang banyak menabur bakti apabila Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia pada usia 100 tahun pagi ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira 9.20 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Pemergian beliau disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Dilahirkan di Klang, Selangor, pada 12 Julai 1926, Tun Dr Siti Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan negara dan menamatkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura pada 1955.

Beliau kemudiannya menyertai Kementerian Kesihatan dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di beberapa lokasi termasuk Kedah, dengan sebahagian besar kerjayanya memberi tumpuan kepada kesihatan awam serta penjagaan kesihatan ibu dan kanak-kanak.

Satu abad kehidupan Allahyarham turut diwarnai khidmat kepada masyarakat, khususnya dalam bidang kesihatan, kebajikan wanita dan kerja sosial. Sumbangan serta keprihatinannya terhadap masyarakat menjadikan beliau antara tokoh wanita yang dikenang dalam sejarah negara.

Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir pada 1956 dan pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata, termasuk aktivis sosial dan penulis Marina Mahathir serta bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pemergian Allahyarham pada usia genap satu abad mengundang rasa dukacita dalam kalangan rakyat yang mengenali perjalanan hidup dan khidmat baktinya kepada masyarakat.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampuni segala dosa dan khilafnya, menerima segala amal kebajikannya serta menempatkan beliau dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

Takziah diucapkan kepada Tun Dr Mahathir, seluruh keluarga serta sahabat handai Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi kehilangan besar ini.

Al-Fatihah.

-BTSMedia.my

Leave a Comment