BRATISLAVA — Penduduk Vlkolinec, sebuah kampung kayu berusia berabad-abad di Slovakia yang hanya mempunyai 17 penduduk tetap, semakin tertekan apabila sehingga 1,000 pelancong membanjiri kawasan itu setiap hari pada musim puncak.
Kampung yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1993 itu kini menjadi mangsa popularitinya sendiri apabila pelancong memasuki halaman dan rumah penduduk untuk mengambil gambar.
Anton Sabucha, 68, berkata dia terpaksa memasang papan tanda melarang fotografi serta penghadang di rumahnya bagi menghalang pelancong. Dia malah mempertimbangkan untuk mengenakan bayaran €50 (RM232.40) bagi setiap gambar sebagai cara menghalau pengunjung, lapor NYT.
Sabucha juga mahu status UNESCO kampung itu ditarik balik, dengan alasan pengiktirafan tersebut menyebabkan Vlkolinec berubah daripada sebuah komuniti hidup kepada seolah-olah muzium terbuka.
Penduduk lain turut mengadu mengenai gangguan, termasuk penggunaan dron untuk merakam mereka ketika makan bersama keluarga.
Martina Kmeova, yang mempunyai dua anak dan merupakan antara segelintir keluarga yang masih tinggal di kampung itu, berkata status terkenal Vlkolinec tidak banyak membawa manfaat kepada penduduk.
Bagaimanapun, Jan Ondrik, ketua persatuan penduduk, menolak cadangan menarik balik status UNESCO kerana percaya pelancong akan terus datang.
Sebaliknya, penduduk mempertikaikan pembahagian hasil pelancongan. Pengunjung dikenakan €8 (RM 37.18) seorang, manakala kenderaan membayar €5 (RM 23.24) untuk parkir, tetapi separuh hasil disalurkan kepada Ruzomberok, bandar yang mentadbir daerah tersebut.
Penduduk mendakwa kemudahan asas seperti jalan, bekalan air dan tandas awam masih tidak mencukupi. Pihak berkuasa pula berkata mereka telah membiayai penyelenggaraan rumah, kutipan sampah, acara dan perkhidmatan lain, selain merancang penambahbaikan melalui dana baharu dari Norway.
Lebih ironik, kebanyakan perniagaan pelancongan di Vlkolinec, termasuk restoran dan kedai kopi, dimiliki orang luar.
Seorang peniaga cenderamata, Zdenka Antalcikova, berkata pelancong penting kepada ekonomi kampung, tetapi mengakui kehidupan penduduk semakin hilang privasi apabila mereka sentiasa diperhatikan dari luar rumah sendiri.
-BTSMedia.my



