BTS Media

Penduduk Kampung Sungai Baru enggan pindah walaupun bekalan elektrik dipotong

GAMBAR: NSTP

 

Oleh Yusoff A. Shariff

KIRA-KIRA 47 penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dipotong bekalan elektrik dan air sekitar pukul 9 pagi Isnin (10 Jun) oleh pemaju, untuk memaksa mereka mengosongkan rumah.

Ini susulan notis pemindahan dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) untuk mengosongkan tanah itu pada bulan Oktober lalu, yang memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil jika ingkar.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan itu tetap bertegas bahawa kerajaan harus berunding semula dengan mereka mengenai rancangan pembangunan untuk memastikan pampasan kewangan yang adil untuk pengambilan tanah berkenaan.

Majoriti pemilik rumah teres satu tingkat di situ berkata mereka akan bertahan di situ sehingga kerajaan menangani kebimbangan mereka.

Menurut The Star, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani berkata, dia masih mengharapkan pampasan yang lebih baik daripada pemaju walaupun sudah menerima RM9 juta untuk rumahnya.

“Rumah saya berhadapan dengan Menara Berkembar Petronas. Saya rasa saya berhak mendapat pampasan yang lebih baik,” kata Ani.

Begitu juga Hashimi Harun, seorang pemilik flat, yang berkata pampasan diterima terlalu sedikit berdasarkan kadar pasaran. Sebagai perbandingan, dia berkata pemilik tanah lain yang berdekatan untuk projek berbeza menerima tawaran lebih baik.

“Di sini kami yang rugi. Ayah dan ibu saya, yang sekarang berusia 88 dan 80 tahun, membeli unit ini 50 tahun lalu.

“Kami berhak mendapat tawaran lebih baik daripada apa yang ditawarkan. Kita minta agar kerajaan memberikan kita perjanjian lebih adil,” katanya.

Penduduk meluahkan nasib mereka pada sidang media yang dipengerusikan Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, pagi hari Isnin di Kampung Sungai Baru.

Khalid meluahkan rasa kecewanya apabila dimaklumkan pihak berkuasa telah memotong bekalan elektrik dan air untuk memaksa penduduk yang masih tinggal di situ berpindah.

“Saya dengar ada warga emas, orang kurang upaya, malah bayi turut terjejas akibat tindakan ini,” katanya sambil menambah kerajaan mesti bertanggungjawab.

Beliau menyatakan bahawa apa yang ditawarkan oleh pemaju, Ritzy Gloss Sdn Bhd, pada harga RM450 sekaki persegi, adalah terlalu rendah.

“Tanah ini bukan tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS), tiada sebarang sekatan. Justeru, penduduk sepatutnya boleh mendapatkan tawaran yang lebih baik,” kata Khalid.

Ketika ditanya berapa diminta oleh penduduk, Khalid berkata mereka sanggup menerima harga RM950 sekaki persegi.

Beliau juga membangkitkan kebimbangan mengenai pemaju yang mungkin mendapat keuntungan besar, justeru meninggalkan pemilik tanah asal dengan perjanjian tidak adil.

Kampung itu terletak di atas tanah seluas 5.23 hektar milik Perbadanan Kemajuan Kampung Baru (PKB). Di situ terdapat 64 rumah teres dan 264 unit rumah pangsa PKNS.

Pada tahun 2016, terdapat rancangan untuk membangunkan semula kawasan itu, termasuk membina bangunan bertingkat tinggi bercampur.

Sejak itu, majoriti penduduk dilaporkan bersetuju dengan pembangunan semula, kecuali beberapa pemilik rumah teres.

Perselisihan pendapat ini menghalang pembangunan semula, hingga mendorong pemaju menggunakan kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi mendapatkan tanah tersebut.

Pada 27 Dis 2022, The Star melaporkan bahawa pemaju telah membayar antara RM800,000 dan RM3 juta sebagai pampasan kepada pemilik rumah teres.

Tahun lepas, Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) mengeluarkan arahan untuk mengosongkan tanah itu  menjelang 5 Okt, jika gagal tindakan undang-undang akan diambil.

-BTS Media

Leave a Comment