GAMBAR ATAS: Facebook Kampung Sungai Baru, Kampung Bharu, KL.
Oleh Zainal AS Rashid
Sebelum digunakan Akta Pengambilan Tanah 1960, pemilik rumah di Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur mendesak kerajaan supaya berbincang dengan mereka terlebih dahulu.
Walaupun sebahagian besar penduduk yang tinggal di rumah pangsa bersetuju, namun kebanyakan yang memiliki rumah teres membantah rancangan pembangunan semula.
Kawasan berkenaan merangkumi dua kawasan perumahan, iaitu rumah teres dan flat kos rendah PKNS.
Wakil penduduk, Azlan Mustafa berkata 72 daripada 98 pemilik rumah masih belum bersetuju dengan pembangunan semula itu.
Mereka sebelum ini merungut tentang tawaran rendah RM200,000 hingga RM250,000 supaya mengosongkan rumah mereka bagi memberi laluan kepada projek membabitkan 64 rumah teres dan 264 unit bertingkat.
Beliau berkata sebuah syarikat pemaju telah menghubungi penduduk pada 2016 dengan tawaran, tetapi ditolak.
Menurut Azlan penduduk ditawarkan unit baharu berdasarkan ruang lantai premis sekarang tetapi mereka tidak berminat kerana merasakan bahawa tawaran itu perlu ditambah baik.
Kita harus menghormati penduduk kerana mereka mempunyai hak milik atas tanah itu – Khalid
Beliau memberitahu semasa sidang media yang dihadiri kira-kira 30 penduduk pada Sabtu bahawa pemilik rumah terkejut tahun lepas apabila dimaklumkan tanah mereka telah diambil alih oleh pemaju.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad yang menjadi moderator perjumpaan itu meminta campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Khalid berkata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim telah memberitahunya bahawa perunding bebas akan dilantik untuk menilai tanah itu dan proses akan selesai dalam seminggu.
Bagi Khalid penggunaan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil alih tanah itu kini menjadi duluan (precedent) berbahaya bagi pembangunan di Kuala Lumpur.
“Ini bermakna kerajaan boleh bekerjasama dengan pemaju dan menggunakan Akta tersebut untuk menjalankan pembangunan komersial,” katanya.
Ditanya mengapa beliau tidak menghentikan pembangunan semula semasa beliau berkhidmat, Khalid berkata perbincangan antara pemaju dan penduduk sedang berjalan pada masa itu.
“Kami juga tidak bercadang untuk menggunakan Akta tersebut. Kita harus menghormati penduduk kerana mereka mempunyai hak milik atas tanah itu,” kata Khalid lagi.
-BTS Media