BTS Media

Persatuan penduduk tak ada hak arah penduduk enggan bayar yuran buka sendiri palang masuk

 

Oleh Yusoff A. Shariff

MAHKAMAH Tinggi di Shah Alam memutuskan bahawa persatuan penduduk di Petaling Jaya tidak boleh arah penduduk komuniti berpagar enggan yang membayar yuran perkhidmatan bulanan mengendalikan sendiri pintu palang automatik.

Hakim Shahnaz Sulaiman berkata ini kerana Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mengarahkan persatuan itu membatalkan arahan berkenaan mempunyai kuasa untuk melarang mana-mana persatuan di bawah kuasanya daripada mengenakan syarat tidak munasabah kepada pemilik rumah.

Beliau berkata kebenaran yang diberikan kepada persatuan penduduk untuk menguatkuasakan komuniti berkawal adalah di bawah bidang kuasa MBPJ.

Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan.

Oleh itu, Shahnaz berkata keputusan MBPJ untuk tidak membenarkan persatuan mengenakan peraturan tersebut adalah sah, tidak menyalahi undang-undang dan munasabah, lapor FMT.

Beliau berkata terdapat klausa dalam Garis Panduan Komuniti Berpagar berhubung perkara itu.

Sebelum ini, Chow Hau Mun yang merupakan presiden Persatuan Penduduk Parkville, Petaling Jaya telah memfailkan tindakan terhadap MBPJ yang enggan membenarkan permintaan supaya bukan ahli perlu mengendalikan sendiri pintu gerbang itu.

Peguam A. Surendra Ananth yang mewakili Chow merujuk kepada satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2015 bagi menyokong permohonan pihak persatuan.

Bagaimanapun, MBPJ, yang diwakili oleh Yatiswara Ramachandran, mengambil pendirian bahawa keputusan mahkamah tersebut tidak menyokong alasan Chow.

Menurut Shahnaz, keputusan Mahkamah Persekutuan yang dirujuk dalam kes 2015 itu bukan isu yang dibawa ke mahkamah bagi kes ini.

Dalam penghakiman yang dikeluarkan awal minggu ini, beliau menjelaskan bahawa isunya ialah tentang syarat yang dikenakan oleh MBPJ kepada persatuan penduduk itu.

Pada Disember 2020, MBPJ telah meluluskan permohonan persatuan itu untuk mengendalikan komuniti berpagar berkawal sehingga Disember tahun ini.

Persatuan kemudian menulis surat kepada majlis pada awal tahun lalu bahawa penduduk yang tidak membayar yuran perlu mengendalikan sendiri palang masuk. Susulan itu, beberapa pemilik rumah dalam kawasan berkenaan telah membuat aduan.

Pihak MBPJ kemudian mengarahkan persatuan penduduk tersebut supaya membatalkan syarat itu, tetapi tidak diendahkan.

Chow kemudian mencabar keputusan pihak MBPJ pada 30 Mac tahun lalu.

Pihak persatuan telah memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

-BTS Media

Leave a Comment