BTS Media

California iktiraf Aidilfitri dan Aidiladha sebagai cuti negeri

CALIFORNIA kini secara rasmi mengiktiraf Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha sebagai cuti negeri, selepas Gabenor Gavin Newsom menandatangani undang-undang baharu yang menetapkan kedua-dua perayaan Islam itu dalam kalendar rasmi negeri.

Undang-undang dikenali sebagai Assembly Bill 2017 itu ditandatangani Newsom pada hari Ahad, sekali gus menjadikan California antara negeri di Amerika Syarikat yang memberikan pengiktirafan rasmi terhadap dua perayaan utama umat Islam berkenaan.

Menurut Anadolu Ajansi, pengiktirafan tersebut turut membolehkan sekolah awam dan kolej komuniti menutup operasi sempena kedua-dua perayaan itu mengikut prosedur yang ditetapkan di peringkat tempatan.

Kakitangan kerajaan negeri yang memenuhi syarat pula boleh menerima kredit cuti bagi Aidilfitri dan Aidiladha.

Aidilfitri menandakan berakhirnya Ramadan, bulan umat Islam menunaikan ibadah puasa, manakala Aidiladha disambut pada musim ibadah haji dan berkait rapat dengan kemuncak pelaksanaan ibadah tersebut.

Undang-undang berkenaan menjelaskan bahawa penetapan kedua-dua hari itu sebagai cuti negeri merupakan pengiktirafan dalam kalendar awam terhadap kepentingan budaya Aidilfitri dan Aidiladha kepada masyarakat California.

– BTSMedia.my

Leave a Comment