BTS Media

Tun M dimasukkan ke IJN untuk pemantauan selepas pemergian Siti Hasmah

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemantauan selepas pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, berkata keadaan Dr Mahathir stabil dan tidak membimbangkan.

Menurut beliau, keputusan untuk memasukkan bapanya ke IJN dibuat bagi membolehkan keadaan kesihatannya dipantau susulan dua hari yang amat mencabar selepas pemergian Dr Siti Hasmah.

Mokhzani ketika dihubungi pada Rabu berkata, Dr Mahathir kini berada dalam keadaan baik dan tiada perkara yang perlu dibimbangkan.

Dr Siti Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada pagi 28 September sebelum jenazahnya dikebumikan pada hari sama di Makam Pahlawan, Presint 20, Putrajaya, dalam istiadat pengebumian negara.

Sebelum ini, seorang lagi anak pasangan itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, memaklumkan bahawa Dr Mahathir sentiasa berada di IJN bagi menemani isterinya sepanjang tempoh rawatan sebelum beliau meninggal dunia.

Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956. Tahun ini genap 70 tahun perkahwinan mereka. Pasangan berkenaan dikurniakan tujuh cahaya mata.

– BTSMedia.my

Leave a Comment