BTS Media

JPJ gantung khidmat Zetrix AI, MyEG sebagai ejen kutipan mulai 5 Okt

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung pelantikan Zetrix AI Bhd dan My E.G. Sdn Bhd sebagai ejen kutipan jabatan itu berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 5 Oktober ini.

JPJ dalam kenyataan memaklumkan keputusan berkenaan membabitkan kedua-dua syarikat di bawah kumpulan MYEG dan dibuat selepas mengambil kira pematuhan terhadap terma serta syarat yang ditetapkan dalam perjanjian, selain status kewajipan yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan.

Susulan penggantungan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini disediakan menerusi saluran Kumpulan MYEG turut dihentikan mulai tarikh sama.

Bagaimanapun, JPJ memberi jaminan bahawa perkhidmatannya akan terus beroperasi seperti biasa menerusi saluran rasmi dan alternatif yang disediakan.

Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan, misalnya, masih boleh dilakukan di kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ, kiosk JPJ, kaunter bergerak, pejabat pos serta perkhidmatan Puspakom terpilih.

Bagi pembaharuan lesen memandu pula, orang ramai boleh menggunakan kaunter JPJ, aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ, kiosk, kaunter bergerak dan pejabat pos.

Permohonan Lesen Memandu Belajar (LDL), selain semakan dan bayaran saman, juga boleh dilakukan menerusi saluran rasmi JPJ.

JPJ turut menjelaskan bahawa tempahan ujian teori berkomputer KPP01 yang dibuat melalui MYEG sebelum 5 Oktober kekal sah dan boleh diteruskan mengikut jadual yang ditetapkan.

Bagaimanapun, semua tempahan baharu mulai 5 Oktober perlu dibuat secara terus melalui pusat ujian KPP di institut memandu di seluruh negara.

Bagi bukan warganegara yang ingin membuat bayaran saman di sempadan Malaysia-Singapura, JPJ berkata unit bergeraknya akan disediakan di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor.

JPJ turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi jabatan bagi memastikan urusan berkaitan dapat dilakukan dengan lancar dan selamat.

-BTSMedia.my

Leave a Comment