SEORANG pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis kira-kira pukul 7 malam semalam sebelum direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata suspek ditahan kira-kira sejam selepas polis menerima laporan mengenai seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di sebuah dewan sekolah.
Suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini, dan dibenarkan perintah reman selama enam hari sehingga 9 Oktober.
Mangsa dikenal pasti sebagai Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Ab Rahaman berkata bedah siasat terhadap mangsa dijadualkan dijalankan hari ini di Hospital Sultanah Nora Ismail.
Beliau berkata suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Menurutnya, motif pembunuhan serta keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian itu masih belum dapat dipastikan dan sedang disiasat.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline Polis Johor di 019-2792095.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2212999.
Sebelum ini, tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.
-BTSMedia.my



