BTS Media

Kes bunuh pelajar: Tiga suspek wanita dan lelaki ditahan

GAMBAR: NSTP.

POLIS telah menahan tiga suspek berhubung kes pembunuhan seorang pelajar universiti di unit kondominiumnya di Cyberjaya, hari Selasa lalu.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata bahawa suspek terdiri daripada seorang lelaki serta dua wanita, yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 19 hingga 20 tahun.

Mereka ditahan di sekitar Johor Bahru, Johor, dan Gemencheh, Negeri Sembilan, antara pukul 9 pagi semalam hingga pukul 2 pagi tadi.

Beliau juga berkata bahawa ketiga-tiga suspek dikenali oleh mangsa.

Menurut beliau, penangkapan dibuat dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis berhubung kematian mangsa diterima pada pukul 10.28 pagi hari Selasa lalu.

Norhizam berkata operasi bersama telah dijalankan oleh pasukan Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Polis memohon perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek di Mahkamah Sesyen Sepang pagi ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Hari Selasa lalu, mangsa berusia 20 tahun itu ditemui maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan kira-kira pukul 10 pagi.

Mangsa, seorang pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.

Beberapa barangan berharga milik mangsa dilaporkan hilang, dipercayai dilarikan oleh suspek.

Semalam, polis mengesahkan tiada unsur rogol terhadap mangsa dalam kes berkenaan, berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang, dan kematian adalah disebabkan hentakan objek tumpul di bahagian kepala.

-BTS Media

Leave a Comment