POLIS telah menahan seorang lelaki dipercayai suspek pembunuhan peniaga makanan Norshamira Zainal, 37, yang mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur hari Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata suspek berusia 53 tahun itu ditahan pada pukul 5:30 pagi hari Sabtu (15 Feb) di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu.
Menurutnya, tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pahang dan Terengganu.
“Susulan penahanan suspek, polis menemui dan merampas sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dikemukakan di Mahkamah Majistret Kuantan (Sabtu),” katanya dipetik Sinar Harian.
ACP Wan Mohd Zahari menambah, dengan penahanan suspek, polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang peniaga wanita yang ditemui mati di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur hari Khamis lalu (13 Feb).
“Polis merakamkan penghargaan kepada orang ramai kerana memberikan maklumat yang membantu siasatan,” katanya.
-BTS Media