MALAYSIA dijangka terus menerima hujan sehingga penghujung tahun sebelum cuaca lebih kering daripada biasa melanda mulai awal tahun depan susulan pengaruh fenomena El Nino.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata keadaan cuaca ketika ini berada di penghujung Monsun Barat Daya dan negara dijangka memasuki fasa peralihan monsun mulai bulan ini.
Menurutnya, tempoh peralihan monsun lazimnya mewujudkan keadaan yang sesuai untuk pembentukan awan ribut, terutama pada sebelah petang hingga awal malam.
Keadaan itu boleh menyebabkan hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh singkat di kebanyakan kawasan, sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Dalam laporan unjuran cuaca jangka panjang sehingga bulanFebruari tahun depan, MetMalaysia berkata fenomena El Nino ketika ini dijangka terus menguat dengan kebarangkalian 90 peratus untuk berada dalam kategori kuat hingga sangat kuat sehingga Januari.
Lebih membimbangkan, terdapat kemungkinan 69 peratus bahawa intensiti El Nino antara bulan Oktober dan Disember yang terkuat pernah direkodkan sejak fenomena itu mula didokumentasikan di negara ini pada tahun 1950.
MetMalaysia turut menjangkakan fenomena itu berterusan sehingga bulan Mac tahun depan.
Agensi itu berkata keadaan kering yang sedang berlaku mungkin reda buat sementara waktu disebabkan faktor seperti perubahan arah angin, namun dijangka kembali pada bulan Januari dan Februari akibat pengaruh El Nino serta penghujung Monsun Timur Laut.
Keadaan itu dijangka menyebabkan kawasan utara Semenanjung dan Sabah mengalami cuaca yang lebih kering.
MetMalaysia juga memberi amaran bahawa terdapat hampir 100 peratus kemungkinan pembentukan Super El Nino menjelang penghujung tahun.
Fenomena El Nino yang kuat, menurutnya, lazimnya dikaitkan dengan kejadian jerebu seperti yang dialami Malaysia baru-baru ini, dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga penghujung bulan.
Cuaca panas dan kering yang lebih ekstrem pula dijangka bermula pada bulan Januari tahun depan dan berpotensi berlarutan sehingga bulan Mei.
Dalam laporan pemantauan kemarau, MetMalaysia mengenal pasti beberapa lokasi yang berpotensi mengalami penurunan taburan hujan sehingga 35 peratus bagi tempoh tiga hingga enam bulan sekiranya keadaan lebih kering daripada biasa berterusan.
Beberapa kawasan di Sabah turut dikenal pasti berisiko tinggi mengalami kemarau berikutan jangkaan penurunan taburan hujan antara November hingga Januari depan.
MetMalaysia memberi amaran bahawa tempoh kering yang berpanjangan boleh memberi tekanan terhadap bekalan sumber air di kawasan terjejas.
-BTSMedia.my



