ALOR SETAR: Fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda ketika ini dijangka berlanjutan sehingga Ramadan ini.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz berkata, walaupun ada sesetengah kawasan mengalami hujan baru-baru ini, beliau meramalkan cuaca kering dan panas berterusan sehingga awal April, dengan suhu tertinggi harian mencecah 37 darjah Celsius.
“Corak cuaca adalah disebabkan oleh fasa lewat monsun timur laut, biasanya dicirikan oleh penurunan hujan dan suhu tinggi.
“Monsun timur laut dijangka berakhir pada akhir Mac atau awal April, menandakan fasa peralihan monsun,” katanya dihubungi hari ini.
Beliau berkata sehingga 27 Februari ini, ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku walaupun cuaca panas.
“Ini terutamanya di kawasan pedalaman dan Pantai Barat Semenanjung pada waktu petang dan lewat petang, yang berpotensi berlanjutan ke awal pagi.
Dalam pada itu, musim kering El Nino yang berterusan di negeri ini berpotensi menjadi episod paling teruk dalam sejarah negara, seperti yang diunjurkan oleh pakar bencana iklim.
Pengarah Institut Pengurusan Bencana Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Chong Khai berkata, berdasarkan analisis cuaca purata suhu harian tahun ini adalah tiga darjah Celsius melebihi normal.
Beliau berkata, walaupun masih terlalu awal untuk menentukan sama ada impak El Nino semasa telah meningkat berbanding sebelum ini tanpa menunggu kesimpulannya, yang biasanya menjangkau enam hingga 18 bulan, purata suhu semasa menunjukkan situasi yang membimbangkan,” katanya.
Membandingkannya dengan episod El Nino 2016, beliau mengimbas situasi sama di mana Langkawi mengalami 27 hari tanpa hujan, menandakan sebagai satu episod El Nino terburuk dalam sejarah Malaysia.
“Tahun ini, Perlis berlangsung selama 29 hari tanpa hujan dan kenaikan suhu global 0.6 darjah Celsius mungkin membawa kepada senario yang lebih buruk untuk El Nino 2024,” katanya.
Oleh itu, beliau menekankan kepentingan kesiapsiagaan masyarakat terhadap El Nino, seperti sentiasa berwaspada terhadap amaran MetMalaysia dan menjimatkan air.
“El Nino boleh mengakibatkan suhu lebih tinggi, hujan berkurangan, dan jerebu rentas sempadan jika kebakaran hutan tidak dikawal.
“Terdapat risiko kekurangan air, memberi kesan kepada pertanian dan masyarakat. Memandangkan sekarang ini musim penanaman padi, petani memerlukan bekalan air yang mencukupi untuk pembenihan,” katanya.