KERAJAAN dijangka memperkenalkan langkah baharu bagi membantu mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah yang berdepan tekanan kewangan, termasuk kesukaran mendapatkan makanan dan beban hutang ketika melanjutkan pengajian.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu itu sedang diberi perhatian kerajaan, terutama membabitkan mahasiswa yang tidak mampu memenuhi keperluan asas sepanjang tempoh pengajian.
Menurutnya, terdapat pelajar yang mahu meneruskan pengajian tetapi berdepan masalah untuk makan, manakala sebahagian yang lain terpaksa berhutang kerana tidak mampu menanggung kos kehidupan dan pendidikan.
Anwar berkata kerajaan perlu mengambil serius keadaan mahasiswa yang berada dalam keadaan sedemikian.
Sehubungan itu, bantuan yang akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan golongan muda mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya selain membantu mereka membuat persediaan menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata golongan muda tidak seharusnya hanya dilihat sebagai pemimpin masa depan, sebaliknya perlu diberikan ruang untuk memainkan peranan dalam kepimpinan negara pada masa kini.
Katanya, mereka perlu berani melangkaui batas kelompok, negeri, kaum dan agama masing-masing bagi memahami kepentingan negara secara lebih menyeluruh.
Beliau turut mengingatkan supaya golongan muda tidak dijadikan alat politik yang hanya mengikut arahan tanpa berfikir, sebaliknya perlu diberikan kebebasan untuk berfikir secara kritis, bersuara dan mempersoalkan perkara yang dianggap tidak wajar.
Menurut Anwar, idealisme anak muda juga perlu dipertahankan, termasuk keberanian untuk menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata generasi muda perlu dibentuk dengan prinsip moral yang jelas dan tidak boleh menganggap salah laku sebagai sesuatu yang boleh diterima hanya kerana ia dilakukan oleh individu yang mempunyai kuasa.
Anwar mempersoalkan bagaimana masyarakat mahu membentuk generasi yang berilmu, beradab dan bermoral jika perbuatan mencuri diterima apabila melibatkan ramai pemimpin.
Beliau turut mengingatkan bahawa persoalan sedemikian perlu dijadikan asas dalam menilai semula nilai, pengetahuan dan adab yang diterapkan kepada generasi muda.
-BTSMedia.my



