Oleh Zainal AS Rashid
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan amaran mengenai penipuan pancingan data yang melibatkan aplikasi MySejahtera dan eWallet Touch ‘n Go.
Dalam catatan pada laman Amaran Jenayah Siber, PDRM menggesa orang ramai supaya berhati-hati dengan SMS yang mendakwa MySejahtera telah mengkreditkan bantuan kewangan Covid-19 ke dalam dompet Touch ‘n Go mereka. Mereka akan diminta untuk klik pautan yang membawa mereka ke laman web Touch ‘n Go palsu.
PDRM menjelaskan bahawa pengguna kemudiannya akan diminta memasukkan nombor telefon dan nombor PIN akaun mereka di laman web palsu, yang boleh menyebabkan butiran peribadi mereka terdedah kepada penipu.
Orang ramai diminta supaya tidak membuka pautan yang diberikan oleh nombor yang tidak dikenali dan mengesahkan sebarang SMS dengan pihak berkenaan.
MySejahtera dalam catatan berasingan di Twitter juga berkata pihaknya tidak menghantar sebarang SMS berkaitan bantuan kewangan kepada orang ramai, dan yang diterima oleh sesetengah pihak adalah palsu.
Pihak MySejahtera akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Isu itu menjadi tular selepas seorang pengguna Twitter mendakwa telah menerima SMS daripada pengirim “GOV”, yang memperincikan bagaimana RM800 telah dikreditkan ke eWallet sebagai sebahagian daripada skim bantuan kewangan khas Covid-19. Pautan ke laman web Touch ‘n Go palsu turut disertakan dalam SMS tersebut.
-BTS Media