BTS Media

Guna mesin taip kekang pelajar guna AI pendekatan wajar dicontohi Malaysia

SEORANG pensyarah bahasa Jerman di Cornell University, Amerika Syarikat mewajibkan semua pelajarnya menggunakan mesin taip untuk mengelak mereka bergantung kepada AI dalam tugasan kuliah.

Memandangkan semakin banyak pelajar di serata dunia menggunakan jalan pintas untuk memudahkan kerja menyiapkan “assignment,” pendekatan sebegini sewajarnya juga dipertimbangkan dalam konteks pendidikan di Malaysia.

Susulan peralihan unik itu, suasana kuliah digambarkan seolah-olah kembali ke era 1960-an apabila para pelajar menggunakan mesin taip tanpa bantuan skrin, kamus dalam talian, aplikasi pemeriksa ejaan mahupun kekunci padam. Inisiatif ini diperkenalkan sekitar tahun 2023 selepas pensyarah berkenaan semakin kecewa dengan kecenderungan pelajar menghasilkan tugasan yang sempurna dari segi tatabahasa melalui penggunaan AI dan platform terjemahan automatik.

Pensyarah tersebut berpendapat bahawa tugasan yang dihasilkan sepenuhnya dengan bantuan teknologi menimbulkan persoalan terhadap ketulenan pemikiran pelajar serta keupayaan mereka menulis tanpa bantuan komputer. Oleh itu, beliau memperkenalkan tugasan berbentuk “analog” dengan mendapatkan mesin taip lama bagi memberi pengalaman pembelajaran yang lebih asli.

Dalam sesi pembelajaran, pelajar turut diperkenalkan dengan cara penggunaan mesin taip, termasuk memasukkan kertas secara manual, menekan kekunci dengan tekanan sesuai, serta memahami fungsi loceng yang menandakan penghujung baris sebelum perlu menggerakkan semula penggelek.

Pendekatan ini memberi kesan kepada cara pelajar berinteraksi, bukan sahaja dengan alat tersebut tetapi juga dengan persekitaran pembelajaran. Tanpa gangguan notifikasi digital dan akses segera kepada maklumat, melalui penggunaan ChatGPT, Gemini, Claude, atau aplikasi AI lain, pelajar didapati lebih banyak berkomunikasi antara satu sama lain serta berfikir secara lebih mendalam sebelum tugasan menulis.

Selain itu, kekangan seperti ketiadaan kekunci padam turut memaksa pelajar untuk lebih berhati-hati, sekali gus menggalakkan pemikiran kritis dan perancangan sebelum menghasilkan ayat. Walaupun terdapat cabaran seperti kesukaran menaip dan hasil tulisan yang kurang kemas, pelajar menerima pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang bermanfaat dan mencabar.

Dalam konteks Malaysia, pendekatan seumpama ini dilihat berpotensi untuk membantu institusi pendidikan mengekang kebergantungan terhadap AI secara berlebihan. Kaedah penilaian berasaskan tulisan tangan, peperiksaan lisan atau penggunaan peralatan bukan digital boleh dipertimbangkan sebagai pelengkap kepada sistem sedia ada, khususnya dalam usaha memupuk keaslian pemikiran, disiplin intelektual serta kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar.

-BTSMedia.my

Leave a Comment